Monday, December 20, 2010

TUGAS HIDUP DAN BENTUKNYA

Seorang islam hidup di dalam dunia ini tidaklah sebagai orang yang hanyut dengan keadaan masa,tempat dan suasana hidupnya.Tapi ianya adalah seorang yang mempunyai panduan dan pegangan.

Kitab suci al-quran telah menyatakan bahawa hidup manusia itu adalah dengan tujuan berbakti kepada Allah.Allah tidak menjadikan manusia sia-sia saja dan hidup manusia tidaklah hampa bahkan iaitu berisi dan diberi nilai sekadar mana iaitu memenuhi tuntutan hidup sebagai berbakti kepada Allah menurut hukum-hukum Allah.

Hidup manusia akan rugi,masanya akan rugi dan tenaganya akan rugi melainkan jika manusia itu beriman kepada Allah dan beramal dengan amal yang soleh dan melakuka beringat-ingatan pada kebenaran dan kesabaran.Hidup manusia itu akan berisi dan bernilai sekiranya dilakukan sekadar daya dan upaya,supaya hidup itu memberi bakti kepada Allah,kepada masyarakat,negeri dan tanah airnya menurut apa-apa yang diaturkan oleh Tuhannya.Tidak melakukan derhaka kepada Allah dan tidak merosakkan dirinya dan orang-orang lain.

Dalam islam manusia itu adalah manusia yang mulia,sebab kemulian itu adalah bagi Allah,bagi Rasulnya dan bagi orang-orang beriman kepada Allah dan Rasulnya.Tiada satu keadaan pun yang mengizinkn orang-orang itu dihina dan diketepikan dan tiada suatu keadaan pun yang meluluskan agama Islam itu rendah atau direndahakan.Di zaman moden ini hal ini perlu diperhatikan,hal ketinggian agama dan kemulian orang Islam serta keagungan Allah dan Rasulnya di bumi Allah ini.

Tiap-tiap perintah Tuhan adalah memerlukan wasilah dan tangga-tangga menghasilkan perintah Tuhan itu.Kemulian dan kehormatan orang islam itu tidak dapat diisi dengan menyebut bahawa islamlah yang mulia dan islamlahyang benar.Tetapi itu dapat diisi dengan melakukan sebab-sebab kemulian dan wasilah-wasilah kehormatan.Semuanya itu akan meliputi tangga-tangga dan kerja-kerja kemasyarakatan,kebudayaan,siasah,pelajaran dan ekonomi bagi orang-orang Islam itu.

Bagi membimbing dan membolehkan umat islam itu mencapai kemuliaan dan kehormatan itu tiadalah satu jalan yang lebih tegas dan tepat serta menjamin sampainya selain daripada kembali kepada hukum Allah dan berpegang kepda panduan kitab al-Quran yang menjadi panduan hidup bagi umat islam di setiap masa dan tempat.Hukum Allah itu sudah dan memang dimuliakan oleh umat Islam tetapi kemahuan ,tenaga dan kuasa menjalankan masih belum ada.Semuanya ini hanya akan dapat dilakukan dengan kesungguhan orang-orang islam memberikan tenaga yang penuh dan sungguh-sungguh,tenaga yang tidak mengenal letih dan jerih dan usaha yang tidak mengenal jemu dan payah.

Sebarang kelengahan di dalam membetulkan keadaan ini akan mengakibatkan bertambah jauhnya umat Islam dari yang dikehendaki oleh Allah dan Rasulnya bagi mereka itu.Di Tanah Melayu,hal ini perlu kita perhatikan,sebagai umat Islam yng mempunyai tenaga dari Allah dan Rasulnya yang ingin hidup sebagai suatu umat yang bebas dan merdeka,bebas dari sebarang tekanan dan pengaruh dan merdeka membuat dan membentuk corak masyrakat hidup umat Islam itu sendiri menurut kepentingan dan kebajikan hidupnya.Tidaklah bermakna bagi seorang Islam hidup tunduk di bawah perintah Allah dan Rasulnya sekiranyadia tertekan dan dipaksa untuk melakukan sesuatu yang berlawanan dengan kehendak imannya dan kehandak Islam itu sendiri.

Bagi orang islam membentuk hidup yang dikehendaki mestilah bentuk hidup yang diredhai oleh Allah,bentuk hidup yang disetujui oleh ajaran Islam.Islam bukan hanyalah suatu agama yang semata-mata mengatur sembahyang dan puasa,zakat dan haji,tasbih dan tahlil,doa dan sebagainya sahaja.Tidak pula Islam hanya mengatur kepercayan kepada sifat-sifat yang mesti ada kepada Allah dan Rasulnya,kepada malaikat dan kitab,kepercayaan kepada hari kemudian dan kepercayaan kepada sifat yang mesti ada kepada Allahdan Rasulnya semata-mata.Tetapi Islam datang dengan peraturan dan undang-undang yang tertentu yang diwajibkan atas orang-orang yang mengikutnya dan tunduk kepadanya.Syarat Islam adalah meliputi semua kegiatan manusia dan keadaan yang meliputi ini memerlukan taat yang meliputi pula.

No comments:

Post a Comment